Wednesday, May 6, 2009

we should appreciate what doctors hv done to the patients..not blaming them for small matter~

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

PENDEDAHAN berhubung isu penemuan dua doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) 'mencuri tulang' oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan sedangkan lebih 20 orang pesakit masih menunggu dalam kesakitan - memang menghangat.

Susulannya, pelbagai pihak lain turut mendedahkan versi pengalaman dengan doktor di hospital kerajaan. Semua doktor hospital kerajaan telah dicemuh oleh masyarakat.

Tetapi akhirnya lain pula cerita sebenarnya. Dua doktor yang dituduh curi tulang itu sebenarnya doktor pelatih yang baru habis bertugas sejak hari sebelumnya. Bilangan pesakit yang menunggu hanya lapan orang (selebihnya ahli keluarga yang menunggu).

Inilah bahana apabila membuat tuduhan tanpa usul periksa. Tidak rasa sedih dan terhinakah doktor dituduh sedemikian. Sedangkan kita tahu mereka bertugas dengan dedikasi, merawat pesakit berbilang kaum tanpa jemu, bekerja siang mahupun malam tanpa hirau penat dan lesu - tiba-tiba dituduh secara melulu sedemikian!

Jika ada pun doktor yang bersikap 'curi tulang' jangan dibuat andaian semua doktor begitu. Tempias nama buruk terpalit kepada institusi hospital kerajaan.

Pada hakikatnya ramai doktor masih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Sebagai rakyat Malaysia, mungkin kita pernah menjadi pesakit di hospital mahupun di klinik-klinik kerajaan.

Soal menunggu lama adalah lumrah kerana kita maklum jumlah pesakit yang ramai. Cuma sikap sewaktu memeriksa pesakit perlu dilakukan dengan penuh dedikasi - bukan menunjukkan reaksi kurang selesa dan kurang berminat untuk merawat pesakit.

Pun begitu, kita percaya masih ramai doktor yang komited dengan tugas mereka. Mungkin hanya satu dua orang sahaja yang tidak beretika dan sanggup mencalitkan lumpur kepada nama baik hospital.

Doktor dan pembantunya, jururawat telah diberi kursus dalam membentuk etika yang baik sewaktu bertugas. Mereka tahu cara untuk berhadapan dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai termasuk melayan pelbagai kerenah pesakit.

Petugas di hospital kerajaan harus memberi layanan terbaik kepada setiap orang tanpa mengira status dan kedudukan. Jangan kerana pesakit terdiri dari golongan kurang mampu dan ditempatkan di kelas kedua atau ketiga, mereka dilayan bagai orang yang tiada perasaan - diherdik dan ditengking sesuka hati.

Profesion doktor cukup mulia. Tetapi naluri manusia sentiasa mahu dilayan dengan cepat dan tidak sabar jika terpaksa menunggu lama.

Perkara ini dilalui oleh para doktor. Bilangan doktor tidak pernah bertambah. Seorang rakan yang memilih bidang ini pernah meluahkan 'tidak ada masa yang cukup' untuk mereka.

Ada masa mereka terlepas waktu makan tengah hari. Kalau mahu ke tandas pun perlu bergilir-gilir. Perkara-perkara seumpama itu adalah biasa bagi seseorang doktor.

Namun, kita belum lagi mendengar doktor menjerit marah kerana kepenatan. Belum pernah kita lihat mereka memberontak dan mogok tidak mahu merawat pesakit.

Kita pun tidak pernah melihat para doktor berpiket menuntut hak mereka. Tak dengar oun mereka meminta dihargai. Sebaliknya mereka terus bekerja penuh dedikasi siang dan malam tanpa jemu merawat pesakit.

Sebenarnya tidak ramai antara kita sedar bahawa waktu bila doktor bekerja. Mereka memulakan tugas sebelum pukul 8 pagi, dan jika on call kena bertugas hingga 36 jam.

Banyak masa mereka korbankan untuk pesakit daripada bersama di sisi ahli keluarga, ibu bapa dan anak-anak.

Mereka tidak pernah merungut tentang gaji. Tidak ada siapa antara kita yang serius memikirkan soal menjaga kebajikan doktor.

Sekarang, amat jarang pesakit atau waris pesakit yang mengucapkan 'terima kasih' kepada doktor. Sebaliknya ada pesakit yang berani menghentak fail ke atas kepala doktor semata-mata kerana tidak diberi cuti sakit.

Tetapi doktor hanya diam, senyum dan meneruskan kerja. Bukanlah bermakna mereka tiada perasaan. Sebaliknya mereka dididik dan dipesan untuk bersabar dengan semua kerenah pesakit.

Jangan kerana desakan sesetengah pihak berkepentingan tertentu, mereka ini dijadikan mangsa dan bekerja dalam tekanan. Kelak ia hanya mendatangkan masalah kepada diri doktor, keluarga dan pesakitnya.

Mulai hari ini dan mengambil semangat baru sempena Hari Pekerja semalam, eloklah kita ringankan mulut untuk mengucapkan terima kasih kepada setiap doktor yang merawat kita

2 comments:

nadhirah mohd shakri said...

waaaaah...rase nk nanges je..
agree! sgt2 agree...
docs mmg diajar utk sbr dgn kerenah px sbb kite kne phm org sakit ni mmg byk kerenah sbb diorg x selesa dgn condition diorg.

i think kite kene buat hari docs la fren.haha.

ApeeN said...

itulah....org asyik complaint khidmat doctor je tau.... bler dr dh treat..dh sembuh..xramai yg dtg uccap tq...itula lumrah alam...doctors di anak tirikan...sabar..sabar..sabar~

utamakan kesehatan px smpai urusan diri snd trabai..nk makeup pn xsmpat..nk dating ngn bf xde masa..blk kg jmpe mama abah...

jomla bwt hari doctors~